NOVEMBER 2021

UTS Dilancar, Insentif Diperkenal


SIBU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Tun Datuk Abang Haji Openg pada Rabu telah melancarkan University of Technology Sarawak (UTS) sebagai sebuah universiti penuh yang terdahulu dikenali sebagai University College of Technology Sarawak (UCTS).

UTS merupakan universiti pertama milik penuh Kerajaan Sarawak yang telah dinaik taraf daripada sebuah kolej universiti. 

Sempena dengan pelancaran tersebut Datuk Patinggi Abang Haji Zohari telah mengumumkan beberapa insentif kepada para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di UTS seperti berikut:

1. UTS Foundation Scholarship dibiayai oleh kerajaan negeri Sarawak untuk semua pelajar. Biasiswa ini akan menanggung yuran pengajian sebanyak RM10,000 seorang pelajar. Pengurangan yuran pengajian ini adalah sebanyak RM 4.5 juta hingga RM 7 juta setahun sepanjang lima tahun.

2. UTS Undergraduate and Postgraduate Scolarships dibiayai oleh kerajaan negeri Sarawak – Skim Biasiswa Khas untuk warga Sarawak dengan menanggung 50% yuran pengajian semua program pra-siswazah dan pascasiswazah. Berdasarkan unjuran lima tahun, ini menunjukkan sumbangan/komitmen sebanyak RM17.2 juta hingga RM27 juta setahun, dari Universiti Teknologi Sarawak.

3. UTS Bursary Scheme untuk warga Sarawak kategori B40-M40 – Skim biasiswa untuk warga Sarawak dari kategori B40 dan M40, untuk menampung 80% dari yuran pengajian. Skim ini menampung untuk 100 pelajar Bumiputera dan 100 pelajar bukan Bumiputera setahun. Berdasarkan unjuran lima tahun, ini menunjukkan sumbangan/komitmen kerajan negeri sebanyak RM 3 juta setahun, dari Universiti Teknologi Sarawak.

4. Bantuan kewangan yang lain – Bantuan kewangan yang lain daripada Yayasan Sarawak, dalam bentuk pinjaman pelajaran tanpa faedah untuk menampung pembelajaran serta kos sara hidup semasa melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Sarawak.

Datuk Patinggi Abang Haji Zohari berkata dengan adanya biasiswa dan insentif kewangan tersebut ia akan memberi lebih banyak peluang kepada rakyat Sarawak di semua peringkat untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Sarawak (UTS) yang merupakan milik penuh Kerajaan Negeri Sarawak. 

“Inisiatif ini juga akan memberi akses yang lebih besar kepada pendidikan tinggi mampu milik untuk semua palajar yang berada di kawasan luar bandar terutamanya pelajar yang dari kategori B40. 

“Dengan adanya rombakan dari segi yuran, UTS dijangka akan mendapat pelajar sehingga kapasiti maksimum 4,000 pelajar menjelang tahun 2024,” ujar beliau dalam ucapan perasmiannya. 

Beliau juga telah mengumumkan penubuhan kursi  penyelidikan dan pembangunan di UTS yang dinamakan  “Dr. Wong Soon Kai Chair in Medical Device Technology” sebagai usaha untuk menggalakkan penyelidikan dan pembangunan dalam peralatan perubatan.

Pembiayaan untuk kursi ini akan ditaja oleh kerajaan negeri di bawah MESTR dengan jumlah RM 2 juta, tambah beliau.

Berucap terdahulu Dr. Annuar Rapaee, pengerusi Lembaga Pengarah UTS.

Sumber dari : Sarawakku